Sembelit Selepas Bersalin : Tips Untuk Mommy
Masalah gangguan untuk membuang air besar atau sembelit selepas bersalin adalah normal bagi kebanyakan wanita yang baru melahirkan anak.
Hal ini terjadi apabila ibu masih lagi merasakan kesan sakit selepas melahirkan dan bimbang akan terbukanya luka jahitan jika meneran terlalu kuat.
Jadi, menahan rasa ingin membuang air besar menyebabkan terjadinya risiko sembelit dan jika tidak dirawat dengan segera ibu berpotensi untuk mendapatkan buasir.
Masalah sembelit selepas bersalin tidak harus dibiarkan berpanjangan kerana ia akan membuatkan ibu berasa tidak selesa dan terseksa kerana sukar membuang air besar.
Sembelit selepas bersalin juga boleh mengganggu emosi ibu semasa berpantang dek kerana ketidakselesaan pada perut boleh mengakibatkan terjadinya kesan-kesan lain pada kesihatan seperti refluks, buasir dan sebagainya.
Bagaimana Sembelit Selepas Bersalin Terjadi?
Sembelit boleh diubati dan boleh dielakkan daripada terus melarat.
Walaubagaimanapun, punca terjadinya sembelit harus difahami kenapa ianya berlaku kepada golongan ibu yang baru sahaja melahirkan anak.
Kebiasaannya, sembelit berpunca daripada faktor yang berbeza seperti melibatkan sistem pencernaan sejak lahir, perubahan hormon, ubat selepas bersalin, dehidrasi atau rasa takut jahitan bersalin pada faraj akan terkoyak.
Bagi mereka yang bersalin melalui prosedur episiotomi atau koyakan faraj, ketakutan tersebut boleh menyebabkan mereka menahan keinginan membuang air besar.
Tetapi, adakah ia benar-benar menyakitkan untuk membuang air besar selepas bersalin?
Rasa bimbang tersebut sebenarnya boleh memburukkan situasi yang mendorong kepada faktor sembelit untuk terjadi.
Ini kerana ia akan membuatkan anda mengetatkan saluran belakang dan bukannya menenangkannya.
Namun, anda mungkin tidak berasa apa-apa jika bersalin secara normal dan tiada komplikasi koyakan.
Ini kerana bahagian antara faraj dan perineum (saluran dubur) mungkin sedikit kebas disebabkan saraf di dalam dan sekeliling faraj telah meregang.
Jahitan bersalin tidak akan terbuka jika anda membuang air besar.
Sebaiknya, elakkan daripada meneran ke bawah kerana ia boleh menegangkan lantai pelvis dan melambat proses penyembuhan.
Tips Legakan Sembelit Selepas Bersalin
Berikut adalah tips untuk mengelak sembelit ketika berpantang yang boleh diamalkan oleh para ibu selepas bersalin. Jangan sampai melarat!
-
Minum air suam secukupnya
Tahukah anda, sekitar 60% daripada badan kita merupakan air?
Air merupakan elemen terpenting dalam kelangsungan proses tubuh seperti sistem pernafasan, saraf, perkumuhan dan pencernaan.
Oleh itu, badan memerlukan air yang secukupnya untuk berfungsi secara normal. Sembelit ketika berpantang adalah salah satu petanda kurangnya air di dalam badan.
Menyusukan bayi juga boleh membuatkan anda dahaga. Jadi para ibu disarankan agar minum sekurang-kurangnya 8 hingga 10 gelas air kosong sehari.
Minumlah sedikit demi sedikit, tetapi kerap. Jangan sampai memaksa diri pula.
-
Makan makanan berserat tinggi
Makanan berserat tinggi membantu meningkatkan pergerakan usus dan melawaskan penghadaman.
Ia juga membantu untuk melembutkan najis supaya anda tidak perlu meneran dari kebiasaan semasa membuang.
Kumpulan makanan seperti bijirin penuh (whole grains), kekacang, beras perang, buah-buahan segar dan sayur-sayuran elok diamalkan dalam diet seharian anda.
Ambil makanan ini bersama makanan lain untuk mengelakkan gas berlebihan.
Buah-buahan yang sudah dikeringkan seperti kismis atau apricot pula sesuai untuk dijadikan snek sihat bagi mengisi perut yang lapar.
Selain itu, buah prun merupakan satu pilihan yang bijak. Prun bukan sahaja mengandungi serat yang tinggi, malah mengandungi sorbitol, iaitu, bahan semula jadi yang akan merangsang pergerakan usus.
Sayur-sayuran berdaun hijau juga elok untuk diamalkan kerana ianya bukan sahaja mempunyai serat yang tinggi malah rendah kalori.
Jadi, ibu-ibu boleh makan dengan senang hati kerana kumpulan makanan ini tidak akan membuatkan anda gemuk.
-
Banyakkan bergerak
Amalan gaya hidup aktif dapat melegakan masalah pencernaan seperti sembelit atau kembung perut.
Ia juga membantu tubuh untuk menyerap nutrien dengan lebih berkesan.
Bagaimana bersenam melegakan sembelit? Aliran darah akan meningkat ke semua otot badan kita apabila kita bersenam.
Ini secara tidak langsung akan menjadikan otot-otot dalam sistem pencernaan berfungsi dengan lebih baik. Jadi, makanan pun akan diproses dengan lebih cepat.
Pastikan anda membuat senaman setiap hari. Duduk atau baring terlalu lama akan membuatkan sembelit lebih teruk. Mulakan dengan senaman yang ringan; mengikut kemampuan.
Misalnya, banyakkan berjalan. Sekiranya masih di hospital, bangunlah daripada katil dan berjalan secara dekat tetapi kerap.
Mahu keliling wad pun, boleh juga. Apabila di rumah pula, sekadar bersiar-siar di sekeliling kawasan perumahan pun sudah memadai.
-
Sedari isyarat badan
Jangan abaikan isyarat ‘membuang’ daripada badan anda dek kerana takutkan luka jahitan yang belum sembuh.
Makin ditahan, makin keras najis kita nanti. Dikhuatiri melarat hingga menjadi buasir pula.
Sebenarnya, perasaan takut untuk membuang air besar selepas bersalin dek kerana luka jahitan membuatkan masalah ini semakin teruk.
Kerunsingan ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada otot dan saraf sekaligus menyukarkan lagi proses tersebut.
Cuba alihkan perhatian dengan membaca buku atau majalah semasa di dalam tandas untuk mengurangkan rasa takut.
- Posisi mirip mencangkung
Tips elak sembelit ketika berpantang seterusnya adalah kedudukan sewaktu anda ‘melabur’.
Mencangkung adalah posisi paling ideal untuk membuang air besar. Ini kerana posisi tersebut menepati fisiologi badan manusia untuk tujuan pencernaan.
Bagaimana sekiranya rumah anda hanya ada tandas duduk? Jangan risau, anda boleh ikuti petua-petua di bawah:
- Duduk sepenuhnya. Jangan bertenggek di atas tandas. Jangan juga terus mencangkung kerana badan belum masih kuat.
- Luruskan dan bongkokkan badan berulang kali untuk membantu menggerakkan otot-otot perut anda.
- Letak kaki di atas bangku kecil ataupun jengketkan kaki supaya lutut lebih tinggi daripada kedudukan pinggul.
- Pada masa yang sama, letakkan siku di atas lutut.
- Pengambilan Ubat Julap
Julap adalah sejenis bahan yang membantu merangsang pergerakan usus sekaligus melancarkan proses penyahtinjaan.
Sesetengah doktor akan membekalkan ubat julap atau pelembut najis apabila anda keluar daripada hospital.
Julap selamat untuk mendapatkan kelegaan bagi jangka masa pendek.
Namun begitu, penggunaan ubat julap secara berterusan akan memberi kesan sampingan kepada kesihatan usus. Contohnya, kekejangan perut yang ringan, cirit-birit, loya dan kembung perut.
Sebab itu pentingnya untuk kita mendapatkan konsultasi daripada doktor atau ahli farmasi terlebih dahulu.
Ini kerana keperluan dos setiap individu berbeza mengikut situasi masing-masing.
Selalunya doktor akan mengesyorkan ubat julap jenis cecair terlebih dahulu untuk diminum.
Sekiranya selepas tiga atau empat hari sembelit masih tidak surut, julap jenis supositori mungkin akan dicadangkan.
Julap jenis supositori ini perlu dimasukkan ke dalam dubur dan mampu memberikan kelegaan segera.
Kesimpulannya
Masalah sembelit selepas bersalin perlu dirawat, bukan dibiarkan ianya melarat.
Sesetengah ibu yang baru lepas melahirkan dan mengalami proses bersalin secara koyakan pasti merasakan sedikit trauma jika perlu meneran najis kerana bimbang akan jahitan terbuka.
Oleh sebab itu, ibu perlu segera mendapatkan solusinya!
Jus Ibu Pantang Post Mamma keluaran Ellsee akan membantu merawat masalah sembelit yang ibu hadapi.
Jus Post Mamma mengandungi bahan khusus sebagai suplemen untuk wanita selepas bersalin.
Antara khasiatnya adalah memberi tenaga, melancarkan peredaran darah, mengelakkan sembelit, banyakkan susu badan, kurangkan masalah keputihan dan membantu menstabilkan hormon.
Ibu-ibu boleh segera dapatkan di Ellsee dan maklumat lanjut mengenai produk ada di sana.
Leave A Comment